Amah bakar rumah

Ditulis oleh gnesop poseng on 07 January 2010

KUALA TERENGGANU: Gara-gara tidak puas hati sebaik mengetahui dia akan dihantar pulang ke negara asal, seorang pembantu rumah warga Indonesia berasal dari Palembang, berusia 14 tahun bertindak di luar dugaan dengan membakar rumah majikannya ketika semua penghuni tiada di kediaman itu, semalam.
Tidak cukup dengan perbuatan khianat itu, suspek turut melarikan dua komputer riba berharga RM4,000 dan wang tabung milik anak perempuan majikannya berjumlah RM500 menyebabkan mangsa kerugian kira-kira RM30,000.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 pagi itu, amah terbabit dipercayai membakar bilik tidur anak majikannya dan bahagian dapur rumah teres di Taman Murni Indah, Telaga Daing, Seberang Takir, di sini, sebelum melarikan diri melalui pintu belakang.

Bagaimanapun, suspek ditahan adik majikannya, Zulkarnain Abd Wahab, 35, di Perhentian Bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) kira-kira sejam kemudian ketika cuba melarikan diri dengan membeli tiket bas ke Kuala Lumpur yang dijadualkan bertolak jam 10 malam.

Pembantu rumah itu kemudian dibawa menaiki kereta peronda ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu untuk siasatan lanjut.

Majikannya, Intan Zunaidah Abdul Wahab, 40, berkata dia tidak menyangka pembantu rumah yang dilayan seperti anak sendiri itu sanggup bertindak sedemikian memandangkan sebelum ini hubungan mereka tidak pernah mempunyai masalah.

“Saya terkejut apabila dihubungi suami pagi tadi (semalam) memberitahu rumah kami terbakar dan perkara pertama yang dilakukan ialah meminta mereka memecah pintu rumah kerana pembantu rumah kami berada di dalam.

“Saya bertambah terkejut apabila dimaklumkan dia tiada di rumah ketika jiran berjaya masuk ke dalam rumah untuk memadamkan kebakaran dipercayai sudah melarikan diri selepas membakar rumah,” katanya.

Ketika kejadian, dia berada di sekolah anak perempuan bongsunya berusia 13 tahun untuk menghadiri program penyampaian hadiah kecemerlangan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) manakala suami, Mazli Mohamed, 49, berada di tempat kerja.

“Dia sebenarnya pembantu rumah adik saya dan hanya menumpang rumah kami sejak sebulan lalu sementara menunggu untuk dihantar pulang oleh ejen, Sabtu ini kerana menimbulkan banyak masalah seperti mencuri wang lebih RM7,000 dan menipu mengatakan usianya sudah 18 tahun.

“Selama tinggal dengan kami, dia tidak ada pula buat perangai. Justeru kami tidak menyangka dia menyimpan dendam sehingga sanggup bertindak luar batasan walhal kami melayannya dengan baik seperti anak sendiri kerana kasihankan dia yang terpaksa bekerja pada usia muda,” katanya.

Oleh Mohd Nasif Badruddin dan Nor Aznida Alias
am@hmetro.com.my

Dipetik dari: http://www.hmetro.com.my

----------------------------------------------------------------------------------------------
Sudah baca entry ini:


Suka entry ini? Sila kongsi melalui butang di bawah:

{ 0 comments... read them below or add one }

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Recent Comments

Powered by Disqus

Followers